Nama Vernakular | Gelenggang Kecil |
Nama Saintifik | Cassia obtusifolia Linn |
Nama Lain | Gelenggang padang, Senna tora |
Famili | Leguminosae |
Asal | Amerika Tropika |
Kini pokok renek yang batangnya sedikit berkayu ini lebih dikenali sebagai rumpai jika dilihat tumbuh di mana-mana kawasan perumahan tidak seperti dahulu. Batang pokoknya berwarna hijau keperangan dan tumbuh dengan ketinggian antara 50-100cm. Daun pinatnya kira-kira 8-12cm panjang dan terdiri daripada 3 pasang anak daun yang berbentuk obovat atau obovat-oblong, berukuran 3-5cm panjang dan 2-3cm lebar.
Daunnya juga berwarna hijau muda, yang akan kuncup pada waktu petang dan terbuka pada waktu pagi. Daun pokok ini juga akan menguncup sekiranya disentuh sama sifat seperti rumput semalu.
Bunganya keluar berpasangan, berwarna kuning dan mempunyai pendunkel pendek yang tumbuh pada aksil daun di pucuk. Lenggainya berbentuk silinder dan runcing, luaran bersegi, 10-15cm panjang dan 2-3mm lebar, dan banyak mengandungi biji yang kecil berwarna kekuningan. Lenggai ini berwarna hijau dan bertukar kepada perang kehitaman apabila masak.
Spesies pokok yang seakan-akan sama adalah Senna obtusifolia dengan nama tempatannya gelenggang sayur atau gelenggang nasi. Spesies ini tumbuh lebih tinggi, daunnya tidak berbau busuk dan perbezaannya hanya dari segi bentuk bunganya dan buahnya yang tidak bersegi.
Kandungan Kimia
Sayuran ini mengandungi khasiat mineral dan vitamin yang tinggi.
Dalam setiap 100g bahagian yang dimakan terkandung: Kalsium 110mg, fosforus 61mg, ferum 6.4mg, vitamin A 15400 I.U, vitamin B1 1.9mg, vitamin B2 29mg, niasin 1.6mg dan vitamin C 185mg.
Kegunaan dan Khasiat
Pokok herba atau pokok renek ini dianggap sebagai sayuran tradisional yang tidak diminati lagi. Pucuk atau daun muda herba ini biasanya dimasak lemak dan menjadi ramuan dalam masakan berasaskan ikan. Sayur ini turut dicampur dengan sayur atau pucuk lain sebagai ramuan nasi ulam, sambal tempoyak daun kayu atau kerabu. Sayur ini juga dianggap sebagai ubat yang dapat mengawal muntah dan sakit perut akibat makanan yang tidak hadam.
Pembiakan dan Penanaman Sayuran tradisional ini tidak ditanam tetapi tumbuh meliar di tempat-tempat yang terbiar. Bagaimanapun di kampung-kampung, herba ini ditanam di sekitar kawasan rumah untuk keperluan dapur dan untuk kegunaan sebagai ubat.
Pembiakannya boleh dilakukan dengan cara semaian biji benih. Biji benih tersebut boleh terus disemai di batas dan jarak antara tanaman adalah 60-90cm . Pokok ini mampu hidup subur dalam pelbagai jenis tanah yang bersaliran baik. Namun, tanah bakar adalah tanah yang paling sesuai untuk pertumbuhan gelenggang kecil. Baja yang disyorkan adalah baja asli atau baja organik seperti najis haiwan, kompos dan air basuhan ikan.
Selain mengubati sakit telinga juga boleh melegakan bengkak-bengkak badan, sakit gigi dan ulser atau seriawan mulut. Herba ini juga berkhasiat mengurangkan suhu badan, melegakan sakit kaki, gout dan seliuh.
Sakit telinga, biji gelenggang kecil digoreng tanpa minyak atau digoreng bersama pasir terlebih dahulu. Selepas digoreng, biji gelenggang itu ditumbuk sehingga halus hingga mengeluarkan minyak sebelum ia disapu atau dititikkan ke dalam telinga.
Cara yang sama juga dilakukan bagi mengubati sakit gigi.
Bagi sakit ulser mulut, daun gelenggang kecil direbus dan kemudian dikumur-kumurkan.
Untuk mengurangkan suhu badan terutama ketika demam, air rebusan daun itu dilapkan ke seluruh badan.
Bagi sakit gout, bengkak-bengkak, terseliuh dan sakit kaki, daun gelenggang kecil perlu dipanaskan atau dilayur sebelum dituam ke bahagian berkenaan.
Sumber :