Nama Vernakular | Gelenggang Besar |
Nama Saintifik | Cassia alata Linn |
Nama Lain | |
Famili | Leguminosae |
Pengenalan
Daun gelenggang yang lebih dikenali sebagai daun Senna adalah dari pokok herba tumbuhan renek dengan ketinggian 1 – 1.5 meter. Gelenggang ialah sejenis pokok renek yang mudah dijumpai dipinggir jalan dan belukar. Pokok ini biasa mencapai ketinggian antara 6 hingga 25 kaki. Ia mempunyai bunga yang berwarna kuning dan dilitupi oleh penutup yang menyerupai lilin sebelum bunganya berkembang. Daunnya berbentuk bilateral dan berlawanan secara simetri,daunya akan tertutup pada waktu malam.Buahnya berada dalam kulit seperti buah kekacang dan bijinya kecil berbentuk bulat.
Daun gelenggang telah digunakan sebagai ubat tradisional di negara Arab semenjak zaman dahulu lagi. Ianya telah diperkenalkan ke Eropah oleh pengamal perubatan tradisional Arab pada abad ke-9.
Daun gelenggang kering yang belum dikisar berwarna kuning pucat, manakala serbuk daun gelenggang berwarna kuning kehijauan. Bahan aktif yang terdapat dalam daun gelenggang adalah antraquinone glucosides. Pada lazimnya, daun gelenggang mengandungi tidak kurang dari 2.5 peratus antraquinone glucosides. Pengiraan kandungan bahan aktif yang terdapat dalam daun gelenggang yang telah dikeringkan adalah berdasarkan sennoside ataupun dikenali sebagai senna glycoside. Sennoside merupakan derivatif anthraquinone.
Kandungan Kimia
Kajian saintifik mendapati ia mengandungi chrysophanol, emodin, allo-emodin, tannin dan rhein yang bersifat antifungal.
Kegunaan dan khasiat
Tumbuhan Cassia alata Linn ini boleh mengubati penyakit kulit seperti kurap, kudis dan panau� dengan kaedah mengikis permukaan kulit yang dijangkiti. Kemudiannya ramas daunnya bersama minyak tanah dan kapur, lalu digosok pada bahagian yang terkena jangkitan.
Manakala daunnya juga boleh dimakan sebagai ulam bagi merawat sembleit dan digunakan bagi membalut tungku bagi kegunaan selepas wanita bersalin. Tumbuhan ini juga didapati mujarab untuk merawat sembelit, penyakit cacacing serta ulser mulut (seriawan mulut)
Secara tradisional, daun gelanggang digunakan sebagai bahan laksatif (julap). Bahan laksatif bertindak bagi memudahkan pembuangan air besar.
Ianya bertindak dalam usus besar manusia dengan meningkatkan pergerakan peristalsis kolon dengan merangsang mukosa kolon. Dengan ini, ianya dapat mengurangkan sembelit.
Dewasa ini daun gelenggang juga digunakan dalam perubatan moden. Sama seperti kegunaannya secara tradisional, ianya digunakan sebagai laksatif. Bahan aktif dalam daun senna iaitu sennoside akan diekstrak dan digunakan sebagai ubat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mendaftarkan ubat yang mengandungi daun gelenggang dalam kategori ubat tradisional dan dalam kategori ubat farmaseutikal, ianya didaftarkan sebagai Ubat Bukan Preskripsi (OTC: Over The Counter).
Bagi ubat tradisional, indikasi yang dibenarkan adalah seperti berikut:
Digunakan secara traditional untuk melegakan sembelit ringan.
Ubat tradisional yang mengandungi daun gelenggang bersama dengan kombinasi bahan herba lain, indikasinya bergantung kepada kandungan dan formulasi keseluruhan ubat tradisional tersebut.
Bagi ubat tradisional yang mengandungi kuantiti daun gelenggang kering kurang daripada 0.5g atau mempunyai kandungan sennoside kurang dari 20 mg melalui persediaan ekstrak piawai (standardized preparation), indikasi yang dibenarkan adalah seperti berikut:
Digunakan secara traditional untuk kesihatan umum.
Daun gelenggang dikatakan selamat untuk digunakan dalam jangka masa pendek bagi indikasi sembelit. Ianya boleh diambil oleh warga tua, wanita selepas bersalin, dan pesakit kanser yang masih mengambil dadah narkotik.
Pengguna hendaklah mematuhi arahan pengambilan seperti yang jelas tertera pada label ubat tradisional tersebut. Dos yang dinyatakan adalah berdasarkan pengalaman serta kesan penggunaannya turun temurun.
Kesan Sampingan
Pengambilan mana-mana ubat , sama ada ubat tradisional mahupun ubat farmaseutikal tidak terkecuali dari kesan sampingan. Kesan sampingan adalah kesan yang tidak dikehendaki akibat dari pengambilan ubat. Begitu juga dengan ubat tradisional yang mengandungi daun gelenggang. Di antara kesan sampingan daun gelenggang adalah kekejangan serta sakit perut, sakit sendi, loya, cirit-birit, angin, perubahan warna pada air kencing, perubahan dalam anatomi kolon atau kerosakan pada dinding kolon, kerosakan hati yang kronik dan sebagainya.
Kesan sampingan dapat diminimakan dengan mematuhi arahan pengambilan/ cadangan dos yang disyorkan seperti pada label ubat tersebut. Sekiranya kesan sampingan itu adalah ringan dan tidak memudaratkan, pengambilan ubat tersebut boleh diteruskan. Walau bagaimana pun sekiranya ianya memudaratkan, pengguna diminta untuk berjumpa dengan pengamal perubatan / pegawai farmasi dengan segera.
**Amaran, perempuan mengandung, menyusukan akan dan kanak-kanak dibawah umur 6 tahun dilarang menggunakan persediaan ini. Orang yang mengidap penyakit seperti cirit birit atau masalah ulser perut juga dicegah dari menggunakannya. Pengambilan daunnya yang berlebihan boleh mendatangkan kematian, bagi haiwan terutamanya disebabkan keracunan oleh asid krisofonik.
Penanaman
Kawasan tanah yang sesuai untuk tanaman pokok gelenggang dari pelbagai jenis tanah sama ada gambut, mineral , berpasir dan sebagainya asalkan mempunyai sistem saliran yang baik. Tanah perlu dibajak dahulu dan jika keadaan tanah agak rendah perlu disediakan batas tanaman. Jarak penanaman yang disyorkan adalah 1.5 meter x 2.5 meter bergantung kepada keadaan tanah. Sebaiknya pokok ditanam rapat dahulu dan boleh dibuat penjarangan selepas ia membesar kemudian hari. Pembajaan adalah disyorkan dengan baja organik tetapi elakkan daripada menggunakan sebarang bahan kimia didalam penanaman gelenggang. Pengurusan perosak tanaman gelenggang tidak menjadi masaalah kerana tanaman ini kurang diserang serangga perosak dan penyakit. Pokok yang sihat akan mula sesuai untuk dituai dengan mengambil daunnya secara mencantas atau kutip mengikut kesesuaian sebelum dihantar untuk diproses menjadi pelbagai produk kesihatan dan perubatan. Semuga artikel ini memberikan sedikit maklumat berguna kepada anda mengenai penanaman pokok gelenggang.