PENGENALAN HERBA SIREH
Nama Tempatan : Sirih
Nama Saintifik : Piper Betle L.
Nama Lain : Sirih Jawa, Betel Leaf
Family : Piperaceae
Sireh merupakan sejenis tumbuhan memanjat (boleh mencapai ketinggian 10-15 kaki). Membiak melalui keratan batang dan anak yang akan tumbuh dari batangnya yang merayap di tanah. Sireh selalunya dikaitkan dengan semangat pada zaman kepahlawan melayu. Dalam upacara pertunangan dan perkahwinan pula, sireh junjung dijadikan kepala hantaran dan merupakan bahan wajib bagi masyarakat melayu. Dalam perubatan tradisional pula sireh banyak digunakan khususnya untuk penyakit yang dikatakan berpunca dari gangguan makhluk halus. Sireh juga dijadikan sejenis snek oleh orang-orang tua melayu dan india.
KANDUNGAN KIMIA
Sireh terbukti secara saintifik mengandungi minyak sari (kadinen, kavikol, sineol, eugenol, karvakol) ini digunakan untuk mengubati keputihan, nafas @ badan berbau, batuk, radang selaput lendir mata, trauchoma, jantung berdebar-debar, kemurungan, demam selepas bersalin, air susu terlampau banyak dan sariawan.
Minyak atsiri dari daun sireh mengandung minyak terbang (betIephenol), seskuiterpen, pati, diatase, gula dan zat samak dan chavicol yang memiliki daya mematikan kuman, antioksida, antifungus dan anti kulat.
KEGUNAAN
1. Batuk
2. Sariawan (penyakit mulut & kerongkong)
3. Bronchitis
4. Jerawat
5. Keputihan
6. Gigi Berlubang, gusi bengkak dan pendarahan gusi
8. Bau mulut
9. Haid tidak teratur
10. Asma
11. Radang kerongkong
12. Luka terbakar
13. Kudis, kurap kaki
14. Bisul dan menghilangkan gatal
15. Sakit mata
KAEDAH PENGGUNAAN
Untuk mengubati hidung berdarah, cuci 2 helai daun sireh segar, digulung kemudian dimasukkan ke dalam lubang hidung.
Untuk penyakit keputihan beberapa helai daun sireh yang telah dibersihkan di rebus dalam air hingga mendidih dan airnya dibiarkan suam. Air ini digunakan untuk mencuci vagina terutamanya setiap kali selepas kencing.
Untuk Nafas berbau pula ada dua cara, satu cara dengan mengunyah daun sireh yang telah dibersihkan hingga lumat dan biarkan berada dalam mulut seketika sebelum diluahkan. Satu cara lagi ialah dengan merebus beberapa helai daun sireh hingga mendidih, setelah itu disejukkan dan ditapis, gunakan untuk berkumur dua kali sehari, pagi dan malam.
Untuk gusi bengkak pula 5-6 helai daun sireh direbus dengan 3 gelas air hingga mendidih, setelah itu masukkan sedikit garam. Biarkan hingga suam dan gunakan untuk berkumur dua hingga tiga kali sehari.
Untuk menghilangkan bau badan, 2 hingga 3 helai daun sireh direbus dengan 1/2 gelas air hingga mendidih, angkat daunnya dan masukkan gula batu sebelum diminum. Jika tidak mahu minum airnya, kaedah lain ialah dengan mengambil sehelai daun sireh dan di calit sedikit kapur sireh. Ramas daunnya dan sapukan pada ketiak.